F1 1Malaysia satu pelaburan baik - Dr. M

Friday, September 18, 2009

ALOR SETAR 17 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan penubuhan Pasukan F1 1Malaysia bagi menyertai perlumbaan Formula Satu mulai tahun depan sebagai satu usaha pelaburan yang baik.

Bekas Perdana Menteri itu yang berperanan memulakan industri kereta nasional melalui penubuhan Proton pada pertengahan 1980-an berkata, penubuhan pasukan tersebut akan merancakkan lagi industri permotoran dan pelancongan negara.

''(Bagus) dari segi pembangunan industri pelancongan dan permotoran negara. Kita boleh belajar bagaimana mahu menghasilkan kereta dan enjin kereta lumba.

''Kejuruteraan kita pun akan bagus," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Rafeah, Taman Uda di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Pada majlis tersebut, Dr. Mahathir turut menyampaikan sumbangan Badan Perhubungan UMNO negeri kepada anak yatim, warga emas dan ibu tunggal.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Pasukan F1 1Malaysia yang merupakan usaha sama kerajaan dan swasta bagi menyertai perlumbaan Formula Satu mulai tahun depan.

Pasukan tersebut akan berwajah Malaysia kerana kereta yang bakal digunakan akan direka, dibuat dan diuji di SIC. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya