Ekonomi negara lebih baik 2010 – TPM

Monday, September 7, 2009


MUHYIDDIN Yassin menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sambil dibantu Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Jamil Khir Baharom (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 6 Sept. – Pencapaian ekonomi negara tahun depan dijangka lebih baik berikutan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion yang disalurkan sebelum ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai agenda penting untuk memastikan dalam tempoh yang tidak terlalu lama, negara keluar daripada situasi ekonomi yang kita lihat hari ini, kepada situasi yang lebih baik.

‘‘Insya-Allah mungkin pada 2010, kita akan keluar dari situasi ini.

‘‘Kita akan meningkatkan soal ekonomi, kemiskinan di kalangan rakyat, menangani kumpulan termiskin yang masih ada di sisi kita dan usaha meningkatkan pendapatan rakyat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya Anak-Anak Yatim anjuran Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Hadiri sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abdin dan kepimpinan UMNO Wilayah Persekutuan.

Pada masa yang sama, Muhyiddin menyeru segenap lapisan masyarakat mempertahankan keselamatan dan keamanan negara kerana ia kunci utama yang membantu kerajaan merangka strateginya.

Tegasnya, ia perlu diberi perhatian serius lebih-lebih lagi sewaktu negara berdepan kemelut ekonomi global.

Tambah beliau, Malaysia bernasib baik kerana keamanan membolehkan kerajaan memberi tumpuan, masa, tenaga dan perancangan rapi untuk menangani isu yang ada hubung kait dengan masalah kehidupan rakyat.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim dari lima rumah kebajikan di sekitar Lembang Klang.

Beliau kemudian menunaikan solat maghrib, bertahlil dan menunaikan solat isyak dan solat sunat tarawih bersama tetamu jemputan.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, pelbagai inisiatif dan peruntukan yang disediakan kerajaan untuk membantu umat Islam tidak akan berkesan jika tiada penglibatan rakyat khususnya yang beragama Islam.

Katanya, walaupun telah banyak usaha dilakukan untuk membantu masyarakat Islam supaya setanding dengan bukan Islam, masih terdapat kekurangan dan kelemahan yang perlu diatasi.

‘‘Dalam tempoh getir ini, apabila berdepan kemelesetan ekonomi, kita mengatur rancangan menyelesaikan masalah ekonomi dan kita mahu umat Islam bersatu dan bersama-sama kerajaan mengambil inisiatif memperbaiki diri,’’ katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya