'Dividen RISDA ibarat duit raya kami'

Wednesday, September 2, 2009

SEREMBAN 1 Sept. - ''Ini bukan sahaja dividen, tetapi duit raya kami menjelang Aidilfitri pada 1 Syawal nanti. Tentulah kami gembira."

Kata-kata itu sudah cukup menggambarkan wajah keceriaan buat 313 pekebun kecil yang menerima dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) bagi tahun 2008.

Mereka merupakan kumpulan pertama daripada 1,726 pekebun kecil di negeri ini menerima dividen yang jumlah keseluruhannya sebanyak RM6,108,050 yang meliputi keluasan 1,901.4 hektar kebun di sini hari ini.

Bagi mereka, pemberian dividen dalam bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri itu memang dinanti-nantikan untuk dikongsi bersama keluarga, apatah lagi ketika mereka sedang sibuk melakukan persiapan menjelang hari lebaran itu.

Pekebun kecil getah, Yaakub Ghani, 85, berkata, ia ibarat 'durian runtuh' dan rezeki yang diberikan oleh Allah dalam bulan Ramadan ini.

''Saya gembira dan bersyukur dengan pemberian dividen ini. Sudah tentulah saya akan berbelanja secara berhemah dan tidak membazir," katanya yang menerima sejumlah RM6,000 untuk dividen RTBB bagi tahun 2008.

Yaakub hari ini mewakili 1,726 pekebun kecil berkenaan menerima replika cek berjumlah RM6,108,050 daripada Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sri Minang, pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri di sini hari ini.

Katanya lagi, ini merupakan dividen kali keempat diperoleh sejak tahun 1974 dan ia membuktikan bahawa 'berbudi pada tanah, ia akan membawa hasil yang baik'.

''Kita sedar kerajaan sentiasa prihatin untuk memajukan golongan pekebun kecil dan pemberian dividen ini merupakan 'kata yang dikota'. Terima kasih," katanya yang tinggal di Kampung Gagu, Jelebu.

Sementara itu, seorang lagi penerima dividen, Yahaya Md. Zain, 56, dari Kampung Petaling, Jelebu, berkata, dia gembira dengan pemberian dividen RTBB itu dan memang dinanti-nantikan.

''Saya bersyukur dengan apa yang telah saya terima hari ini. Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mengambil berat soal kebajikan pekebun kecil," katanya yang telah mengusahakan kebun getah sejak tahun 1974.

Yahaya yang menerima dividen RTBB sebanyak RM4,000 hari ini berkata, wang berkenaan akan digunakan dengan baik bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri dan selebihnya akan disimpan untuk keperluan keluarga.

Daripada jumlah itu, seramai 1,726 pekebun kecil menerima manfaat dengan nilai sebanyak RM1,300 untuk satu ekar (0.4 hektar). - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya