BN perlu ambil iktibar

Wednesday, September 23, 2009

LEDANG 22 Sept. - Barisan Nasional (BN) perlu mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dalam meletakkan calon yang sesuai pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, faktor calon memainkan peranan penting dalam pilihan raya tersebut kerana ia menjadi menjadi pertimbangan utama pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya percaya akhirnya parti akan pilih calon yang paling sesuai, kita sepatutnya mengambil pengajaran dari pengalaman terdekat ini (Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir)

"Ini kerana calon merupakan juga faktor penting yang diambil kira dan semua pihak akan merujuk tentang kelebihan dan mana-mana kelemahan yang ada dalam calon-calon tertentu dalam kempen," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Sungai Mati, di sini hari ini.

BN bakal menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Oktober ekoran kematian wakil rakyatnya, Azman Mohd. Nor pada 4 September lalu.

Menurut Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor, calon yang dipilih oleh BN perlu memiliki kredibiliti supaya tidak menjadi asakan parti pembangkang.

"Dia mesti mempunyai kekuatan pada dirinya selain daripada kekuatan yang dia boleh dapat daripada parti.

"Sepatutnya kita terhindar daripada ruang parti mengambil kesempatan daripada calon yang diketengahkan oleh mana-mana parti sekalipun," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya