Bergilir ke sekolah jaga bapa lumpuh

Friday, September 4, 2009

Oleh Nor Hazwani Hamat
bhkb@bharian.com.my


MOHAMMAD AZAHAN (kiri) dan adiknya Abdu Ssalam mengurus bapa mereka ketika ibu bekerja di Kampung Kedai Buloh, Jalan Kuala Besar.

2 beradik pikul tanggungjawab ketika ibu kerja

KOTA BHARU: Dua beradik dekat Kedai Buloh di sini, terpaksa bergilir ke sekolah demi menjaga dan menguruskan bapa yang terlantar lumpuh ketika ibu mereka keluar mencari rezeki menyara keluarga sejak tiga tahun lalu.

Keadaan sukar itu ditempuh pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Kedai Buloh, Muhammad Azahan Ishak, 15, bersama adiknya, Abdu Ssalam, 13, dari sekolah sama.

Mereka terpaksa berkorban dengan bergilir hadir ke sekolah kerana perlu menemani bapa, Ishak Husin, 60, yang lumpuh separuh badan sebelah kiri, ketika ibu mereka, Rohana Abdullah, 40, keluar bekerja sebagai pencanting batik.

Muhammad Azahan berkata, sejak diserang penyakit lumpuh itu, bapanya yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan terlantar di rumah dan memerlukan bantuan ahli keluarga untuk mengurus diri, termasuk makan dan minum yang perlu disuap.

"Sejak lumpuh, ayah juga tidak boleh bercakap. Emak terpaksa bekerja untuk menyara hidup keluarga, seorang kakak saya, Norhayati, 18, pula tinggal di asrama Pusat Giat Mara (PGM) Tumpat dan hanya balik melawat kami dua minggu sekali.

"Berikutan keperluan menjaga ayah ketika emak bekerja, saya dan adik Ssalam, terpaksa bergilir untuk ke sekolah setiap hari. Kalau tidak, tiada siapa yang dapat membantu ayah jika dia memerlukan apa-apa. Ketika menemaninya, saya atau adik terpaksa memapah ke bilik air, memberinya makan dan urus segala keperluan diri yang lain," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Ketika diziarahi wakil media semalam, walaupun dalam keadaan lumpuh dan tidak mampu berkata-kata, Ishak tetap gigih menunaikan ibadat puasa sejak hari pertama Ramadan tahun ini.

Muhammad Azahan berkata, emaknya terpaksa bekerja walaupun menerima gaji kira-kira RM15 sehari, demi menampung keperluan keluarga serta membiayai kos rawatan dan keperluan lampin pakai buang bapanya.

"Setakat ini, bapa saya tidak pernah menerima sebarang bantuan kebajikan. Yang ada hanyalah sumbangan simpati yang sekali sekala kami terima daripada jemaah surau berdekatan," katanya yang tahun ini akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya