Berdamailah Melayu Islam

Thursday, September 24, 2009

SEMAKIN luas jurang perbezaan ideologi antara dua orang semakin sukar untuk mereka bergabung. Kecuali jika berlaku transformasi antara entiti itu sama ada secara asimilasi daripada satu ideologi kecil kepada ideologi besar atau integrasi antara kedua-dua ideologi berkenaan melalui cara saling cair-mencair.

Begitulah apa yang berlaku antara Pas dan UMNO sekarang. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berulang kali berkata: “Penggabungan Pas-UMNO adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana percantuman itu ibarat pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahram, sesuatu yang ditegah agama.”

Begitupun, masih ada ruang di hati kecil pemimpin veteran Pas itu untuk melihat kabilah Melayu bersatu kembali. Dan meminjam kata-kata yang lazim beliau lafazkan: “Boleh jika nak gabung, tetapi UMNO perlu ubah dasar dia, daripada kebangsaan kepada Islam.”

Persoalan sama ada UMNO perlu bergabung dengan Pas adalah persoalan apakah ada masa depan untuk orang Melayu di negara ini?

Daya beli orang Melayu mengikut dokumen Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hanyalah sekitar RM1,500, India RM2,500 dan Cina RM4,500. Melalui daya beli yang rendah ini akan membuatkan orang Melayu Islam bergantung kepada orang lain.

Realitinya, orang Melayu secara rata-rata tidak mampu menghantar anak-anak belajar ke luar negara menggunakan wang sendiri atau tidak mampu menghantar anak-anak ke kelas tuisyen berbanding kaum Cina.

Oleh sebab Melayu atau bumiputera merupakan populasi terbesar yang mengisi 66 peratus komposisi rakyat, maka asas kenegaraan harmoni – seperti pernah diutarakan sosiologis Prof. Dr. Mansor Mohd. Nor dan Prof. Dr. Rahman Embong – mestilah menjadi teras dalam aspek ekonomi, politik dan pembentukan budaya.

Asas kenegaraan akibat sejarah penjajahan memerlukan Melayu kuat. Walaupun begitu, daripada aspek pembentukan negara bangsa, bukan bermakna UMNO kuat secara mutlak, tetapi menghendaki Melayu kuat.

Jika begitu apa salahnya jika Melayu dalam Pas gagah dalam aspek mampu menentukan kuasa ekonomi dan politik. Dan pada masa sama Melayu dalam UMNO juga masih kuat? Sejarah mampu menjawabnya setiap kali pilihan raya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya