Bantuan Ramadan ceriakan fakir miskin

Saturday, September 5, 2009


Isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, (kanan) menyampaikan bantuan Ramadan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada Siti Hajar Shafiei di Rantau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

SEREMBAN 4 Sept. - Wajahnya mungkin tidak menggambarkan apa- apa cerita yang menarik. Namun di sebalik paras rupa yang ceria itu, si fakir miskin yang menerima bantuan Ramadan baru-baru ini sentiasa diruntun pilu.

Apa tidaknya, hidup dalam kesempitan setiap hari dan menghitung detik untuk menanti hari esok menjadikan golongan ini sentiasa berdebar-debar dalam menyara kehidupan keluarga dan anak-anak tersayang.

Namun begitu, walau apa pun penderitaan dan kisah pilu yang mereka alami, kerajaan tidak pernah sepi daripada menghulurkan bantuan agar ketibaan Hari Lebaran pada 1 Syawal nanti memberi sinar kegembiraan buat golongan yang kurang bernasib baik ini.

Bagi penerima bantuan bulan Ramadan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), kerajaan negeri dan Tabung Haji di Rantau, dekat sini baru-baru ini, wang yang diterima itu melenyapkan keresahan yang ditanggung mereka untuk menghadapi Aidilfitri.

Bagi Noriah Othman, 58, dari Kampung Pasir, Rantau, sumbangan itu cukup bermakna untuk dirinya, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalankan ibadah berpuasa pada bulan Ramadan.

''Dapatlah saya menggunakan wang itu untuk membeli keperluan dapur dan barangan lain untuk persediaan hari raya ini," katanya yang pernah bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit.

Noriah yang mempunyai 16 orang anak memberitahu, dia kini tidak mempunyai pendapatan dan masih menanggung empat anak yang berusia 15 tahun hingga 25 tahun.

''Saya gembira dengan sumbangan ini. Sekurang-kurangnya golongan miskin dan kurang bernasib baik seperti saya mendapat perhatian daripada kerajaan," katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia yang kematian suaminya kira-kira 10 tahun lalu memberitahu, sambutan menjelang Aidilfitri dilakukan secara sederhana, bersesuaian dengan keadaan kehidupannya ketika ini.

''Kami menyambut ketibaan 1 Syawal mengikut 'acuan' kami. Ikutlah kemampuan yang ada. Anak-anak akan balik dan itu adalah keceriaan dalam keluarga saya," katanya yang mempunyai 12 orang cucu.

Sementara itu, Mohd. Said Hasan, 67, yang kudung kedua-dua belah tangannya akibat kemalangan di tempat kerja memberitahu, dia gembira kerana menerima sumbangan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

''Terima kasihlah. Ini besar ertinya buat kami yang kurang bernasib baik ini. Ia adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Saya bersyukur dengan nikmat ini," katanya.

Tambah Mohd. Said, sumbangan itu akan digunakan untuk membeli keperluan harian dan perbelanjaan sepanjang bulan Ramadan ini.

''Semoga ia cukup untuk kegunaan kami sepanjang bulan Ramadan ini," ujanya.

Manakala Siti Hajar Shafiei, 18, yang buta kedua-dua matanya memberitahu, hidupnya sentiasa ceria dan gembira kerana ramai yang mengambil berat termasuk ahli keluarga dan kerajaan.

''Hari ini saya menerima sumbangan dan datang bersama kakak. Walaupun saya tidak dapat melihat, pemberian itu amat bermakna. Ia menandakan ada insan yang masih sayangkan golongan kurang bernasib baik seperti saya," katanya.

Bagi Putih Mohamad Nor, 82, yang terpaksa menggunakan kerusi roda kerana uzur berkata, dia cukup gembira kerana menerima sumbangan daripada seorang pemimpin.

''Tentulah saya riang dan seronok. Ramai yang dapat sumbangan dan bantuan. Saya akan simpan sedikit dan selebihnya guna untuk keperluan hari raya ini," katanya yang mempunyai lapan orang anak.

Apa pun yang diterima oleh golongan ini, mereka sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan, malahan ada di antara mereka yang mengalirkan air mata dan tidak kurang juga yang tersenyum gembira.

Sekurang-kurangnya, beban yang mereka tanggung dan kerisauan menghadapi bulan Ramadan ketika ini akan sedikit terubat, walaupun esok mereka terpaksa menghitung hari memikirkan corak keceriaan menjelang 1 Syawal. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya