Bantu tingkatkan prestasi akademik anak yatim - Dr. Mohd. Puad Zarkashi

Sunday, September 6, 2009

BATU PAHAT 5 Sept. - Masyarakat Islam digesa membantu meningkatkan prestasi akademik anak yatim yang tinggal di asrama dengan menyediakan kelas tuisyen serta buku rujukan untuk mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu penting bagi memastikan anak yatim turut cemerlang dalam pelajaran dan dapat mengubah masa depan mereka.

Beliau berkata, setiap tahun, ramai anggota masyarakat berminat menghulurkan sumbangan wang tunai dan pakaian untuk anak yatim setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Kini tiba masanya mereka turut menghulurkan bantuan untuk meningkatkan prestasi akademik golongan ini pula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 70 fakir miskin dan 83 anak yatim di Wisma Anak Yatim Batu Pahat, di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil dan ADUN Senggarang, Ja'affar Hashim.

Mohd. Puad berkata, selaku Ahli Parlimen Batu Pahat, beliau sendiri akan melaksanakan program peningkatan prestasi akademik anak yatim di kawasannya termasuk kelas tuisyen yang dikendalikan guru terbaik.

"Jika berkesan kita akan memperluaskan program itu ke semua rumah anak yatim di seluruh negara demi masa depan mereka," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya