Bantu peniaga bumiputera

Friday, September 4, 2009

KOTA KINABALU 3 Sept. - Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Sabah) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) digesa terus bersatu dalam membangun peniaga bumiputera di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, gabungan ketiga-tiga dewan perniagaan ini akan memberi lebih kekuatan dalam merencanakan program yang mampu memberi manfaat kepada usahawan bumiputera.

''Saya meminta dewan-dewan perniagaan ini bergabung tenaga dan mengekalkan kerjasama bagi mewujudkan peluang perniagaan di Sabah, sekali gus melahirkan peniaga bumiputera berjaya dan lebih mantap.

''Ini kerana, walaupun masing-masing memiliki dewan perniagaan, tapi mereka mempunyai satu matlamat iaitu untuk menolong dan melatih para peniaga menerusi program-program khusus," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Sabah) dan Perdasama di Hotel Le Meridien, malam tadi.

Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan sumbangan kuih muih Aidilfitri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mengenai sumbangan tersebut, Musa berkata, ia diharap dapat mengubat kerinduan para anggota keselamatan yang tidak berkesempatan beraya bersama keluarga.

Beliau juga berkata, peniaga bumiputera juga tidak seharusnya terlalu mengharapkan kerajaan semata-mata, sebaliknya mereka harus berusaha gigih bagi mencapai kejayaan.

Peniaga bumiputera juga harus mencontohi kejayaan usahawan kaum lain yang telah berjaya dalam bidang perniagaan.

''Kalau masyarakat tionghua boleh berjaya, kenapa kita tidak boleh? Tapi yang penting untuk berjaya peniaga perlu konsisten supaya apa yang kita lakukan itu beroleh kejayaan berterusan," ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya