Bantu pelatih dapatkan pekerjaan selepas tamat program bagi tingkatkan pendapatan keluarga

Monday, September 14, 2009

SANTUBONG: Program Latihan Kemahiran Etnik Minoriti (PLKEM) sudah dimulakan di negeri ini untuk memberi peluang kepada lepasan sekolah dari kalangan etnik minoriti tempatan yang kurang berkemampuan mengikuti pelbagai kursus kemahiran pekerjaan.

Program itu, bermula tahun lalu tetapi hanya di Kolej Yayasan Sabah (54 pelatih dari negeri ini) dan Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan (57 pelatih dari negeri ini) serta cadangan mengadakannya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Program dengan wakil rakyat dari kumpulan etnik minoriti tempatan pada 26 Mei lalu di Miri.

Pelajar yang menyertai program akan mengikuti pelbagai kursus kemahiran di institusi latihan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan selepas tamat program dan meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing.

Majlis Perasmian PLKEM bagi negeri Sarawak dengan pengambilan pertama bagi sesi Julai 2009, pada 7 Julai lalu di Pusat Latihan Pembangunan Belia (PLPB), Santubong, di sini.

Kumpulan pertama pelatih PLKEM di Sarawak membabitkan 300 pelatih yang ditempatkan di PLPB Santubong, manakala 90 orang lagi di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Miri.

Menteri Muda Di Pejabat Ketua (Sumber Manusia dan Latihan), Fatimah Abdullah, berkata kerajaan negeri melalui program ditaja Kerajaan Pusat menyasarkan melatih 600 pelajar etnik minoriti tahun ini.

"Semua lepasan sekolah setiap etnik minoriti di negeri ini akan diberi peluang mengikuti program PLKEM di Sarawak kerana kebanyakan mereka menetap di pedalaman dan selalu mengadu tidak dapat maklumat mengenai program latihan kemahiran, tidak berpeluang mendapatkan borang atau keluarga kurang berkemampuan," katanya ketika majlis perasmian.

"Selepas mesyuarat 26 Mei lalu, di Miri, program ini mula dipromosikan kepada lepasan sekolah secara aktif bersama pejabat daerah dan residen pada majlis keramaian atau kebudayaan etnik minoriti," katanya program yang dilaksanakan Kerajaan Pusat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu turut membabitkan minoriti di Sabah dan Orang Asli di Semenanjung.

"Kita diberikan peruntukan melatih 600 pelajar dalam program PLKEM di Sarawak yang dimulakan hari ini (7 Julai) dari pihak Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri. Kita tak tahu kos melatih pelajar terbabit yang hanya diketahui selepas mereka tamat kursus, tetapi kos ini akan dibiayai Kerajaan Pusat," katanya.

Jawatankuasa Pemantau Pelaksanaan PLKEM negeri ini dipengerusikan Unit Perancangan Negeri (SPU) dan Majlis Pembangunan Sumber Manusia Lepasan Sekolah, Unit Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Ketua Menteri.

Fatimah berkata, pelatih PLKEM akan mengikuti kursus kemahiran kimpalan, kerja paip, binaan, perabot, menjahit pakaian, elektronik, instrumen, automotif, perladangan, pentadbiran pejabat, dan teknologi maklumat.

"Latihan adalah pada peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Tahap 2, dengan setiap tahap selama enam bulan dan pelatih diberikan bantuan kewangan iaitu yuran latihan, makanan dan minuman, pengangkutan, tempat tinggal, pakaian latihan, insuran, elaun sara diri dan peralatan latihan," katanya.

Beliau berkata antara golongan etnik minoriti negeri ini ialah suku kaum Penan,Tagal, Bukitan, Bisaya, Lun Bawang, Kenyah, Kedayan, Punan, Bidayuh, dan Melanau serta lain kumpulan minoriti yang miskin kerana mengakui tidak semua sudah diberikan peluang mengikuti program itu.

Pihaknya juga berhasrat mengambil lepasan sekolah dari semua bahagian tahun hadapan bagi memberikan peluang kepada lebih ramai etnik minoriti lain berikutan pengambilan pelatih kumpulan pertama kebanyakan dari bahagian utara negeri ini.

Fatimah tidak mengetahui sama ada program terbabit akan ditambah pengambilan pelajarnya pada tahun hadapan berikutan jumlah etnik minoriti yang ramai kerana ini bergantung kepada keberkesanan program dalam mencapai objektifnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA), Dr Elli Luhat, berkata adalah penting kerajaan memastikan program terbabit mencapai objektifnya terlebih dulu sebelum merancang memperluaskannya.

"Tiada jaminan pelatih mendapatkan pekerjaan atau mendapat gaji lumayan menggunakan kemahiran diperoleh melalui program ini, jadi sekiranya gagal mencapai objektifnya adalah lebih baik jika peruntukan kerajaan itu digunakan bagi membantu etnik minoriti dengan cara lain yang lebih berkesan," katanya.

SDGA bertanggungjawab mempromosikan pendidikan kepada suku kaum Dayak, termasuk pelbagai kumpulan etnik minoriti negeri ini.

Dr Luhat percaya adalah lebih sesuai juga lepasan sekolah terbabit diberikan latihan kemahiran berkaitan keusahawanan pertanian moden kerana sekiranya gagal mendapat pekerjaan, ramai akan membantu keluarga mereka bertani ekoran ia punca pendapatan utama kebanyakan etnik minoriti tempatan.

Sehubungan itu beliau mencadangkan Kerajaan Pusat menubuhkan Institut Pertanian Pintar bagi mengajar pelbagai kemahiran pertanian moden kepada lepasan sekolah dari etnik minoriti tempatan yang kurang berkemampuan. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya