Arab Saudi labur RM8.5 bilion – Najib

Thursday, October 1, 2009

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Malaysia dan Arab Saudi hari ini mengumumkan penubuhan sebuah syarikat usaha sama dengan modal berjumlah AS$2.5 bilion (RM8.5 bilion), yang membuka era baru kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Syarikat usaha sama itu akan menerajui kemasukan aliran pelaburan langsung asing (FDI) dari Asia Barat dan juga membuat pelaburan strategik dalam projek berimpak tinggi di negara ini.

Penubuhan syarikat berkenaan merupakan hasil perkongsian antara 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan PetroSaudi International Limited (PSI).

Usaha sama itu merupakan yang pertama dilaksanakan oleh PSI di rantau ini dan menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia dan prospek ekonomi di sini, demikian menurut kedua-dua syarikat berkenaan dalam kenyataan bersama hari ini.

1MDB, syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, ditubuhkan baru-baru ini, bertujuan memacu inisiatif strategik untuk pembangunan ekonomi mampan jangka panjang dan menggalakkan aliran masuk FDI ke dalam negara.

PSI, berpangkalan di Al-Khobar, Arab Saudi bertanggungjawab melaksanakan pelaburan yang boleh mengukuhkan hubungan antara Arab Saudi dan negara-negara utama di seluruh dunia.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan melabur sebanyak AS$1 bilion (RM3.46 bilion) dalam syarikat usahasama itu yang akan memberi faedah kepada perkembangan ekonomi negara.

Menurutnya, usahasama itu juga diharap dapat mencetuskan lebih banyak peluang pelaburan dalam dan luar negara untuk tempoh jangka panjang.

‘‘Kerjasama ini juga mencerminkan keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap hubungan dua hala kedua-dua negara.

‘‘Saya percaya pelaburan ini merupakan titik permulaan kepada kemasukan lebih banyak pelaburan ke Malaysia,’’ katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Logo Baru dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Tabung Haji di sini hari ini.

Syarikat usahasama itu mempunyai objektif untuk mendapatkan, meneroka dan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi dan perniagaan yang menghasilkan peningkatan dan penggalakan kemakmuran masa depan dan pembangunan ekonomi mampan jangka panjang Malaysia.

Ia dijangka melabur secara aktif dalam sektor tenaga diperbaharui.

Syarikat usaha sama itu juga dijangka menjadi perantara bagi pelaburan dari Asia Barat ke rantau ini dengan Malaysia akan mendapat kelebihan dalam menarik pelaburan dari rantau yang kaya dengan wang dan sumber.

Kerjasama itu akan bermula dengan pelaburan dalam minyak dan gas, tenaga boleh baru (RE) dan sektor hartanah di Malaysia dan luar negara.

Najib berkata, kerajaan memperoleh dana pelaburan itu melalui terbitan bon yang dibuat baru-baru ini dan disahkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz semalam.

Perdana Menteri berkata, maklumat lanjut mengenai pelaburan itu akan diumumkan dari semasa ke semasa dan keuntungan yang dibuat daripada pelaburan luar Malaysia akan dipulangkan kepada negara.

Katanya, terdapat lebih banyak pelaburan seperti itu bakal diterima daripada Arab Saudi serta negara-negara Asia Barat yang mempunyai lebihan modal.

Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Sheikh Tarek bin Essam bin Ahmad dalam kenyataan bersama itu berkata, Malaysia telah lama menjadi model kestabilan dan pembangunan untuk negara membangun.

“Kami percaya dasar liberalisasi ekonomi terbaru yang diumumkan Perdana Menteri akan menjadikan Malaysia sebagai tempat yang menarik untuk pelabur.

“Kami menjangka Malaysia akan menjadi rakan penting untuk negara Arab Saudi.” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi yang mengalu-alukan penubuhan syarikat usaha sama itu pula berkata, syarikat usaha sama itu bersedia untuk meningkatkan lagi FDI dari Asia Barat terutamanya Arab Saudi.

“Kami akan memanfaatkan kedudukan kukuh PSI di peringkat antarabangsa, rangkaian dan kepakaran mereka untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.” jelasnya.

Syarikat usaha sama itu akan melaksanakan projek-projek dalam pelbagai sektor yang memberikan manfaat bersama dan seiring dengan misi 1MDB untuk memacu pembangunan ekonomi mampan jangka panjang di Malaysia. - Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya