Al-Nidaa' bantu golongan memerlukan

Saturday, September 5, 2009

KOTA BHARU 4 Sept. - Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) akan mengagihkan bantuan kepada kumpulan penerima yang layak dengan jumlah bantuan mencecah RM280,000.

Setiausaha Kerja Al-Nidaa', Zainuddin Alang Mamat berkata, majlis penyampaian itu yang bermula 30 Ogos lalu di Kuala Lumpur, akan berakhir Isnin ini di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak.

"Majlis Infak Ramadan ini adalah aktiviti tahunan yang diadakan Al-Nidaa' bagi membantu menyampaikan sumbangan yang diamanahkan umat Islam terutama anggota pertubuhan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, keluarga miskin, ibu tunggal, saudara baru, anak yatim dan orang kurang upaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Untuk tahun ini, beliau berkata, seramai 959 orang terpilih untuk menerima agihan daripada sumbangan, zakat, dan fidyah, hasil sumbangan umat Islam, dan penyampaian akan diadakan di lokasi terpilih di negeri-negeri berkenaan.

"Jumlah itu meningkat berbanding agihan tahun lepas iaitu hanya RM230,750 yang memanfaatkan 877 orang penerima terpilih dari seluruh negara," katanya.

Katanya, Al-Nidaa' juga berperanan sebagai orang tengah bagi mereka yang ingin menunaikan ibadah sumbangan di bulan Ramadan dan pertubuhan itu juga mengadakan hubungan dengan pihak-pihak yang mempunyai data-data golongan sasaran.

Majlis seumpama itu bertujuan untuk membantu pihak yang kurang bernasib baik tidak terlepas pandang dan mendapat manfaat daripada masyarakat, bersesuaian dengan visi serta tujuan Al-Nidaa' sebagai pertubuhan gerakan Islam iaitu kepekaan tinggi terhadap alam sekitar dan kualiti kehidupan manusia yang menjunjung tinggi keadilan serta kebajikan hidup. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya