44 sekolah mubaligh terima RM4.8 juta

Friday, September 4, 2009


ZAMBRY beramah mesra dengan pengetua dan wakil sekolah mubaligh pada majlis penyampaian bantuan kewangan di kediaman rasmi Menteri Besar, kelmarin.

IPOH: Sebanyak 44 sekolah mubaligh di Perak menerima bantuan kewangan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua berjumlah RM4.8 juta yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, kelmarin.

Setiap sekolah menerima bantuan antara RM50,000 hingga RM570,000 berdasarkan keperluan, dengan Sekolah Menengah Perempuan Treacher Methodist, Taiping, yang berusia lebih 120 tahun menerima peruntukan terbesar.

Zambry berkata, semua sekolah terbabit memberi sumbangan besar dalam pendidikan negara dan menjadi pilihan utama ibu bapa untuk menghantar anak mereka bersekolah sejak dulu kerana pernah dianggap antara sekolah terbaik negara.

"Saya tidak mahu pergolakan politik yang ditimbulkan sesetengah pihak di negeri ini menjejaskan kedudukan sekolah mubaligh ini dalam melahirkan modal insan terbaik," katanya berucap pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohammad Zahir Abdul Khalid, berkata sebahagian besar sekolah mubaligh di Perak yang pernah tersohor sebelum ini adalah contoh terbaik gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, sekolah berkenaan mempunyai pelajar dan guru berbilang kaum yang tidak memandang kaum dalam proses pembelajaran, selain sentiasa berusaha mengekalkan kedudukan cemerlang dalam akademik.

“Oleh kerana sekolah terbabit didirikan sebelum merdeka, banyak daripada bangunan sekolah berkenaan sudah uzur dan memerlukan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan yang disampaikan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi pertama dan kedua,” katanya.

Beliau berkata, krisis politik yang cuba dicetuskan pakatan pembangkang tidak memberi sebarang kesan terhadap usaha kerajaan negeri dan Pusat untuk terus menjalankan tugas dengan amanah dan demi kepentingan rakyat. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya