20 keluarga terima 'hadiah rumah' menjelang Hari Raya Aidilfitri

Sunday, September 6, 2009


KEMUDAHAN taman permainan kanak-kanak yang dibina di Kampung Teluk Melati di Chenor, Maran.

MARAN 5 Sept. - Sebanyak 20 keluarga yang menerima rumah melalui Program Sejahtera yang dilancarkan di Kampung Teluk Melati, Chenor dekat sini semalam menganggapnya sebagai hadiah paling berharga menjelang Aidilfitri.

Mereka yang terpilih menyertai program itu tidak menyangka mendapat rumah baru tersebut.

Pasangan suami isteri, Abdul Rahman Mat Daud, 36, dan Zaini Abd. Manaf, 36, bersyukur serta berterima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana prihatin dengan nasib rakyat miskin seperti mereka.

Selama ini, kata Abdul Rahman, mereka menumpang di rumah ibu bapanya kerana tidak mampu membina rumah sendiri atau menyewa kerana pendapatan yang kecil.

"Kami yang menumpang di rumah ibu bapa dan hanya bekerja kampung tidak bermimpi memiliki rumah sendiri," katanya kepada Mingguan Malaysia di kampung itu hari ini.

Program Sejahtera dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan matlamat membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan penduduk desa dan bandar.

Sebagai projek perintis, 20 keluarga di Kampung Teluk Melati dipilih menyertai program itu apabila menerima kunci rumah masing-masing daripada Perdana Menteri semalam.

Pasangan suami isteri, Hamdan Ali, 47, dan Azizah Mohamad, 42, berkata, pemberian sebuah rumah batu tiga bilik itu seolah-olah seperti mimpi menjadi kenyataan.

Kata mereka, mereka sangat menghargai sumbangan itu kerana menepati gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang dicetuskan Perdana Menteri.

"Kami lima beranak akan merayakan Hari Raya Aidilfitri di rumah baru ini seperti juga 19 lagi penerima di bawah Program Sejahtera ini," katanya.

Seorang ibu tunggal, Norlaili Idris, 37, tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila terpilih peserta Program Sejahtera di Kampung Teluk Melati itu.

Katanya, rumah baru yang diterima itu sekurang-kurangnya dapat mengubat dukanya selepas berpisah dengan suaminya sebelum bulan puasa lalu.

"Dengan bekerja sebagai penoreh getah, saya menyara tiga anak yang masih bersekolah," katanya.

Norlaili turut yakin nasibnya akan terus terbela apabila terpilih menyertai Program Sejahtera itu.

Bagi seorang warga emas, Mat Daud Osman, 73, yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan tidak menyangka terpilih peserta Program Sejahtera di Kampung Teluk Melati itu.

"Terima kasih kerajaan kerana memilih saya sebagai peserta walaupun bukan penduduk tempatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, semua peserta itu dipilih oleh Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Daerah Maran untuk menyertai Program Sejahtera di Kampung Teluk Melati.

Katanya, mereka terpilih merupakan golongan miskin tegar di sekitar daerah ini.

"Daerah Maran dipilih Khazanah Nasional Berhad sebagai daerah terawal selepas Besut, Terengganu bagi projek perintis Program Sejahtera ini.

"Program Sejahtera adalah salah satu program yang digubal bertujuan membantu golongan miskin tegar supaya keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Tan Mohd. Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri memberitahu, program itu melibatkan 20 syarikat milik kerajaan (GLC) yang menyumbang pelaksanaan program berkenaan.

"Fokus utama ialah memberi bantuan dari segi keperluan asas seperti bantuan rumah atau membaik pulih rumah sedia ada menyediakan program kemahiran," katanya.

Beliau menambah, kerja-kerja awal pembinaan rumah di kampung itu bermula sejak 8 Julai lalu. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya