19,361 rakyat miskin dibantu

Thursday, September 10, 2009


Dr. Md. Isa Sabu menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk miskin kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh di Masjid Pauh, Arau, baru-baru ini.

KANGAR 9 Sept. - Sebanyak RM2.1 juta disediakan untuk membantu 19,361 rakyat yang memerlukan termasuk anak yatim, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Perlis sepanjang Ramadan ini.

Peruntukan daripada Kerajaan Pusat itu dikhaskan kepada kumpulan sasar beragama Islam yang dikenal pasti perlu diberi bantuan segera bagi meringankan beban mereka menjelang sambutan 1 Syawal.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu memberitahu, bantuan berkenaan yang dikenali sebagai Sumbangan Sempena Ramadan 1430 Hijrah diberi kepada mereka yang dikenal pasti layak.

Katanya, mereka terdiri daripada penduduk di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Maya Ayer, Santan, Bintong, Sena, Indera Kayangan, Kuala Perlis, Kayang, Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglang.

Daripada 19,361 penerima itu, katanya, 2,969 orang terdiri daripada anak-anak yatim yang diberikan 'duit raya' sebanyak RM50 seorang, manakala warga emas, OKU, ibu tunggal miskin dan peserta PPRT pula masing-masing RM100.

"Sumbangan ini disediakan oleh kerajaan Pusat bagi meringankan penderitaan hidup mereka yang terlibat. Kelayakan penerima berdasarkan bancian menyeluruh termasuk mengikut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini.

Md. Isa memberitahu, agihan bantuan melibatkan 1,931 penduduk di DUN Bintong diikuti Kayang seramai 1,774 orang manakala Kuala Perlis melibatkan 1,617 penerima.

Bagi Tambun Tulang ia melibatkan 1,399 orang, Guar Sanji (1,399 orang), Santan (1,361 orang), Chuping (1,243 orang) dan Sena (1,270 orang). Simpang Empat pula melibatkan 1,235 orang penerima manakala Sanglang (1,235 orang), Beseri (1,195 orang), Pauh (1,122 orang), Mata Ayer (880 orang), Titi Tinggi (812 orang) dan Indera Kayangan (764 orang).

Menteri Besar memberitahu, bantuan tersebut disampaikan secara berjadual kepada para penerima di peringkat DUN masing-masing bermula 1 September hingga 17 September ini.

"Sehingga 8 Ogos lepas bantuan berkenaan telah disalurkan kepada 9,088 orang untuk penerima di Bintong, Pauh, Titi Tinggi, Sena, Beseri dan Sanglang," ujarnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya