Tindakan gantung lesen

Thursday, August 13, 2009

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan teragak-agak untuk menggantung lesen perniagaan peniaga di bazar Ramadan kelolaannya yang didapati menjual lesen kepada orang lain atau tidak mematuhi syaratsyarat yang telah ditetapkan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata, langkah itu adalah bagi memastikan mereka bertanggungjawab terhadap perniagaan yang dijalankan.

Menurutnya, tindakan tegas itu juga adalah kaedah terbaik untuk mengajar sesetengah peniaga yang cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah dan singkat.

Beliau menegaskan, tidak ada kompromi diberikan kepada mereka dan tindakan akan diambil serta-merta sekiranya terdapat bukti atau terdapat aduan mengenai perkara tersebut.

"Pada tahun ini, di setiap bazar Ramadan, pihak DBKL akan menempatkan pegawai penguat kuasa bagi memantau aktiviti dan akan melaksanakan tindakan menggantung lesen kepada mereka yang melanggar peraturan,'' katanya kepada pemberita ketika mempengerusikan Program Bersama Media di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, berdasarkan rekod pada tahun lepas, hanya empat peniaga daripada lebih 6,000 peniaga digantung lesen mereka kerana kesalahan menjual tapak kepada orang lain.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin perkara tersebut tidak akan berlaku pada tahun ini memandangkan proses mendapatkan tapak dilakukan secara telus termasuk melibatkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilantik sebagai pihak pemerhati.

"Proses undi terutama di kawasan tumpuan seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India telah pun selesai pada 9 Julai lalu melibatkan jumlah keseluruhan 485 petak, manakala di kawasan lain petak-petak niaga sudahpun ditentukan.

"Harapan saya peniaga-peniaga ini benar-benar dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk mencari rezeki sepanjang Ramadan nanti,'' ujarnya.

Beliau memberitahu, sebanyak 6,170 tapak niaga di bazar Ramadan disediakan oleh DBKL di 75 kawasan sekitar Kuala Lumpur mulai 22 Ogos hingga 20 September iaitu selama 30 hari.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,978 petak telah disediakan oleh DBKL melibatkan 15 lokasi tidak undi.

Antaranya, Bandar Baru Sentul, Flat Sri Melaka, Jalan Raja Alang dan Pasar Datuk Keramat.

Permohonan untuk bazar Ramadan yang diuruskan persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) pula adalah sebanyak 4,192 petak.

Dalam masa sama, Ahmad Fuad turut menasihatkan pengunjung dan para peniaga di setiap bazar Ramadan agar sentiasa menjaga kebersihan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penyebaran selesema babi atau influenza A (H1N1).

"Memandangkan bazar seumpama ini adalah antara yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa serta persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, maka soal kebersihan perlu diutamakan," katanya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya