Sistem kewangan Islam perlu berani - Raja Nazrin

Thursday, August 13, 2009

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Sistem kewangan Islam perlu berani untuk menongkah arus dengan menjadi penyumbang semula kepada prinsip-prinsip produk yang ditawarkan dalam sistem kewangan konvensional.

Raja Muda Perak yang juga Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, sistem kewangan Islam yang sebelum ini menjadikan sistem kewangan konvensional sebagai panduan dan asas kewangan, kini boleh menyumbang semula daripada segi menawarkan prinsip-prinsip tadbir urus dan tanggungjawab yang baik.

"Ketika ini, sistem kewangan Islam meminjam daripada sistem konvensional daripada segi produk yang ditawarkan dan sudah tiba masa untuk kita menukar perkembangannya," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama hari kedua di Simposium Pasaran Modal Dunia di sini hari ini.

Menurut Raja Nazrin, sistem kewangan Islam boleh membantu perkembangan industri kewangan sejagat agar lebih mengetahui perlunya mematuhi peraturan dan mengekang akses, selain mewujudkan infrastruktur amanah, adil dan berwibawa.

Baginda yakin sistem kewangan Islam boleh menawarkan jauh lebih baik dari apa yang ada ketika ini.

"Kewangan Islam merupakan inspirasi untuk kewangan yang baik. Seperti diketahui, kewangan yang baik membabitkan amanah, kejujuran, adil dan integriti yang merupakan asas kepada kestabilan, kata baginda.

Raja Nazrin bertitah, sistem kewangan Islam kini merupakan pasaran global sebenar yang merentas sempadan dengan pelbagai jenis pelaburan alternatif seperti sukuk, dana bersama, dana komoditi, dana dagangan ekuiti, amanah pelaburan hartanah, derivatif mematuhi prinsip syariah dan dana lindung nilai.

Perkembangan terbaru itu juga meliputi bank Islam di Perancis, penerbitan buku mengenai kewangan Islam dalam bahasa Itali dan dana hartanah yang mematuhi prinsip syariah di Australia.

Hasil perkembangan itu juga titahnya, pelbagai terbitan produk-produk yang mematuhi prinsip Syariah, termasuk Bank Dunia, Pusat Kewangan Islam, negeri Anhalt-Saxony di Jerman dan Aston-Martin serta Shell, yang merintis kepada sukuk.

"Dunia sangat berminat dan beta yakin kewangan Islam dapat menangani cabaran," titah Raja Nazrin sambil menambah, industri berkenaan semakin mendapat permintaan daripada pelabur bukan Islam, bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara.

Baginda menegaskan salah satu daripada matlamat paling utama industri kewangan Islam keperluannya bersepadu dengan sistem kewangan global. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya