Sentuhan Ramadan bantu murid miskin

Sunday, August 30, 2009


MUHAMMAD Ali Hashim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di kalangan pelajar kurang berkemampuan pada Majlis Sentuhan Ramadan dan Pelancaran Bazar Tujjar Ramadan di Masjid An-Nur Kotaraya, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 29 Ogos - Seramai 65 murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan dari 13 buah sekolah sekitar bandar raya diraikan pada Majlis Sentuhan Ramadan di sini, semalam.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Biro Kebajikan, Sosial dan Kebudayaan Dewan Perdagangan Islam Malaysia Negeri Johor (DPIMNJ) dan Masjid An-Nur Kotaraya dengan kerjasama Damansara Assets Sdn. Bhd.

Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, Sentuhan Ramadan itu merupakan yang kelima diadakan bersama dengan DPIMNJ dan juga penyewa-penyewa Kompleks Johor Corporation.

Beliau berkata, majlis yang dijadikan sebagai acara tahunan itu bukti dan komitmen DPIMNJ kepada masyarakat khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

"Majlis ini juga salah satu usaha DPIMNJ bersama JCorp dalam memperjuangkan 'Jihad Bisnes' untuk membina ekonomi dan membela nasib umat Islam dengan mengutamakan nilai-nilai murni dan ajaran Islam," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Muhammad Ali berkata, bagi menjayakan program itu, pelbagai sumbangan telah diterima termasuk daripada syarikat-syarikat di dalam Kumpulan JCorp, anggota pekerja Johor Corporation, ahli-ahli DPIMNJ dan juga orang perseorangan.

"Tidak ketinggalan, para penyewa kompleks perniagaan milik JCorp turut menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk barangan termasuk makanan dan minuman bagi majlis berbuka puasa," katanya.

Berkenaan sumbangan tersebut, beliau berkata, ia diharapkan dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan khususnya bagi menyambut kedatangan Syawal yang bakal tiba.

Setiap murid menerima sumbangan yang meliputi keperluan sekolah seperti alat tulis dan beg sekolah serta duit raya berjumlah RM150.

Beliau turut melancarkan Bazar Tujjar Ramadan yang menyediakan ruang niaga yang selesa kepada usahawan bumiputera yang merupakan ahli DPIMNJ untuk menjalankan perniagaan.

Tahun ini, kata Muhammad Ali, sebanyak 180 unit bazar telah dibuka berbanding 169 unit tahun lalu. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya