Sektor komoditi perlu bersaing di pasaran global – Muhyiddin

Friday, August 14, 2009


Muhyiddin Yassin menyiram pokok sebagai tanda simbolik ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia (Miccos) 2009 di Serdang, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cabaran terbesar yang dihadapi oleh sektor komoditi negara pada masa ini adalah untuk meningkatkan daya saing di pasaran global.

Kata beliau, tindakan konkrit dan bersepadu perlu dilaksanakan oleh semua pihak dalam keseluruhan rantaian nilai industri yang meliputi kedua-dua peringkat huluan dan hiliran dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman komoditi dan penggunaan teknologi yang dapat mengurangkan kos.

Selain itu, menurutnya, usaha penyelidikan dan pembangunan perlu dipergiatkan terutama terhadap kaedah-kaedah bioteknologi yang boleh dieksploitasi bagi menghasilkan bahan tanaman komoditi yang berkualiti tinggi.

“Saya difahamkan beberapa komoditi telah pun menyahut cabaran ini seperti tanaman sawit yang telah melancarkan 29 teknologi baru dan 16 perkhidmatan baru sekali gus menawarkan 441 teknologi meliputi semua sektor sawit.

“Begitu juga dengan tanaman koko yang baru-baru ini berjaya mengeluarkan empat klon baru melalui siri kedua dikenali sebagai MCB C6, MCB C7, MCB C8 dan MCB C9 yang lebih berdaya tahan kepada penyakit matirosot dan jejalur vaskular,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Antarabangsa Komoditi Malaysia (Miccos) 2009 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Pada majlis yang sama, Muhyiddin turut melancarkan klon terbaru getah, 1 Malaysia yang selain tahan penyakit, juga mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat iaitu kira-kira selepas empat tahun lebih ditanam.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan timbalannya, Datuk Hamzah Zainuddin.

Miccos 2009 yang bertemakan Komoditi Adalah Satu Industri selama empat hari berakhir Ahad ini, mempamerkan pelbagai produk, teknologi dan inovasi terkini sektor komoditi negara merangkumi sembilan industri iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, tembakau, kenaf, jatropha dan sago.

Muhyiddin berkata, selain berusaha membangunkan teknologi melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan secara dalaman, industri juga digalak mewujudkan kerjasama dengan institusi penyelidikan awam seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Lembaga Getah Malaysia yang telah terbukti kecemerlangan mereka di dunia. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya