RM1.4b bina sistem pengangkutan awam Nu Sentral - PM

Thursday, August 13, 2009

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Usaha kerajaan mewujudkan sistem pengangkutan awam bersepadu di bandar raya ini dijangka tercapai dengan pembinaan pusat beli-belah baru, Nu Sentral yang bersambung dengan rangkaian pengangkutan rel di Brickfields di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pusat itu akan menyediakan sambungan sempurna perkhidmatan kereta api antara bandar, komuter, monorel, Express Rail Link (ERL) dan transit aliran ringan (LRT).

"Laluan transit aliran massa (MRT) dari Damansara ke Cheras dan dari Kelana Jaya ke Putra Heights akan disepadukan dengan pusat beli-belah baru ini yang dijangka siap pada 2012," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Nu Sentral yang akan dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi MRCB, Tan Sri Azlan Zainol.

Pembinaan pusat beli-belah tujuh tingkat yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan bersepadu Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) akan dibina bersama-sama tiga menara pejabat 27 tingkat dan sebuah hotel butik dengan kos keseluruhan RM1.4 bilion.

Ia akan disambungkan dengan Stesen KL Sentral, Stesen Monorel di Jalan Tun Sambanthan dan stesen MRT baru bagi laluan Damansara-Cheras menerusi jambatan berhawa dingin.

Menurut Najib, Nu Sentral yang tiga kali ganda lebih besar daripada Mid Valley Megamall akan mengubah imej lama Brickfields, meskipun beberapa aspek di kawasan itu seperti Little India, akan dikekalkan.

"Kita akan memastikan manfaat dari segi ekonomi dan sosial daripada pembangunan semula Brickfields ini akan dinikmati setiap masyarakat di kawasan berkenaan selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Tambah beliau, dengan adanya rangkaian pengangkutan awam bersepadu itu, ia akan menggalakkan orang ramai berjalan kaki seperti penduduk Hong Kong yang dilihatnya kurus kerana melakukan aktiviti itu setiap hari.

Dalam pada itu, kata beliau, pembangunan Nu Sentral adalah selaras dengan langkah kerajaan menyenaraikan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA).

"Kita telah menetapkan bahawa usaha meningkatkan mutu perkhidmatan ini dijadikan sebagai sasaran yang perlu dicapai bagi tempoh jangka sederhana kerana ia penting untuk pertumbuhan ekonomi negara yang mapan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah untuk menaik taraf prasarana jalan raya di sekitar KL Sentral dan Brickfields dengan meluluskan peruntukan di bawah pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM110 juta pada Februari lalu.

"Langkah ini selaras dengan konsep perkongsian antara kerajaan dan sektor swasta dan juga setelah pihak MRCB berjumpa dengan kita bagi memaklumkan mereka bersedia melabur RM2 bilion untuk pembangunan KL Sentral sekiranya kerajaan membantu menaik taraf infrastruktur jalan raya.

"Saya gembira kerana MRCB telah melangkaui sasaran ditetapkan dengan pelaburan baru di KL Sentral kini telah melebih RM3 bilion," katanya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya