Projek baru MRCB di KL Sentral

Thursday, August 13, 2009

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) dan beberapa rakan niaganya akan memajukan projek bernilai lebih RM3 bilion di kawasan pembangunan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).

Pengarah Urusan Kumpulan, Shahril Ridza Ridzuan berkata, projek itu melibatkan pembangunan bersepadu di Lot G dan pembangunan lain termasuk pembinaan ibu pejabat CIMB Bank dan Shell serta pejabat mesra alam.

''Melalui pembangunan Lot G yang melibatkan pusat membeli belah, butik hotel dan menara pejabat, MRCB akan bekerjasama dengan Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) untuk membangunkan pusat membeli belah dan menara pejabat.

''Bagi pusat membeli belah nilai pembangunan kasarnya adalah RM1.4 bilion dengan keluasan 1.2 juta kaki persegi manakala bagi keseluruhan projek Lot G pula berjumlah RM2.14 bilion,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian projek pembangunan integrasi KL Sentral dan pusat membeli belah yang dikenali sebagai 'Nu Sentral' di sini hari ini.

Projek tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Projek bersepadu KL Sentral di kawasan pembangunan berkeluasan 28.8 hektar terletak berhampiran dengan Jalan Stesen Sentral dan Jalan Tun Sambanthan.

Nu Sentral adalah bangunan pusat membeli belah tujuh tingkat yang akan menempatkan ruang peruncitan, pasar raya, panggung wayang dan pusat boling.

MRCB menguasai 51 peratus kepentingan dalam projek Nu Sentral manakala baki 49 peratus dimiliki PHB.

Tambah Shahril, keseluruhan projek pembangunan bersepadu itu akan siap sepenuhnya menjelang 2012 dengan kerja-kerja pembinaan telah dimulakan sejak empat bulan lalu.

''Nu Sentral terletak di kawasan strategik iaitu di tengah-tengah jaringan pengangkutan menghubungkan sistem transit aliran ringan (LRT), sistem komuter dan ERL,'' kata beliau. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya