PM: Asia akan bangkit

Thursday, August 13, 2009

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak melihat era selepas ekonomi global pulih akan menjadi milik Asia dan bukan lagi milik Eropah atau Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri berkata, walaupun Eropah dan AS masih menjadi kuasa ekonomi yang penting tetapi masa depan Asia dijangka lebih cerah.

Katanya, kuasa berbelanja masyarakat AS dan Eropah tidak akan menyamai keadaan sebelum ini apabila ekonomi global pulih sepenuhnya kelak.

"Dari segi kemampuan pengguna untuk berbelanja, saya fikir dalam beberapa tahun akan datang, kita tidak akan melihat tahap berbelanja yang mereka nikmati selama ini," katanya.

Najib berkata demikian ketika ditemu bual dalam segmen perniagaan antarabangsa CNN Road to Recovery yang sebelum itu menampilkan ahli ekonomi AS juga pemenang Hadiah Nobel, Paul Krugman.

Krugman pula berkata, dunia tidak boleh bergantung terhadap China untuk memulihkan ekonomi meskipun republik itu antara negara yang masih berkembang walaupun pada tahap perlahan.

"Meskipun China besar dan ekonominya cerah pada masa depan, negara itu masih kecil berbanding Eropah atau AS serta tidak mempunyai kuasa membeli seperti yang dimiliki oleh Jepun," katanya.

Krugman berkata, China bukan pemain yang cukup besar untuk menjadi lokomotif dunia meskipun ia sudah melaksanakan langkah-langkah rangsangan yang besar. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya