Perniagaan IKS bertambah baik

Thursday, August 13, 2009

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tinjauan perniagaan bagi industri kecil dan sederhana (IKS) telah bertambah baik sejak bermula suku tahun ketiga tahun ini, kata Presiden Persatuan IKS Malaysia, Chua Tiam Wee.

Katanya, sentimen perniagaan sektor pengilangan dan perkhidmatan mulai bertambah baik.

"Kami menjangka perniagaan mencatatkan pertumbuhan positif menjelang awal tahun hadapan," kata Tiam Wee kepada pemberita selepas pelancaran Anugerah Pengiktirafan PKS 2009 di sini hari ini.

Katanya, perniagaan kini mengalami permintaan kukuh, khususnya dari Amerika Syarikat dan China yang mulai menambah stok inventori masing-masing.

Tiam Wee berkata, insentif kerajaan penting untuk menggalakkan pertumbuhan IKS di negara ini.

"IKS perlu meraih pasaran seberang laut dan kini wujud keperluan untuk menggalakkan eksport serta penyertaan IKS dalam misi perdagangan," katanya.

Kerajaan, katanya, telah bersikap reseptif terhadap keperluan IKS.

Bagi pembentangan cadangan bajet akan datang, persatuan itu telah memberikan cadangan kepada kerajaan.

"Sesetengah daripada cadangan itu termasuk pengurangan kadar elektrik dan pengecualian cukai bagi syarikat yang mencatatkan perolehan di bawah RM1 juta serta pengecualian duti setem bagi melakukan pinjaman," kata Tiam Wee.

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberi galakan untuk menjadi lebih inovatif dan menerima pakai teknologi terbaharu. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya