Pendapatan Jamil, Peladang Jaya RM52,000 sebulan

Friday, August 14, 2009


MOHD. Shahrul Daud (kiri) bersama pemenang Anugerah Nelayan Muda Jaya Peringkat Kebangsaan 2009, Mohd. Zolquanain Ismail di Melaka, semalam.

MELAKA 13 Ogos - Para penerima anugerah sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini membuktikan slogan pertanian adalah perniagaan sememangnya tepat.

Melalui bidang pertanian, mereka bukan sahaja dapat menikmati kehidupan yang lebih baik malah pendapatan bulanan juga mencecah lima angka.

Penerima Anugerah Peladang Jaya Lelaki Peringkat Kebangsaan 2009, Jamil Saimon, 45, dari Kampung Tuan Seh, Tanjung Sedili, Kota Tinggi berkata, dia tidak pernah menyangka penglibatannya dalam bidang pertanian selama ini akan mendapat pengiktirafan.

Pengusaha tanaman kelapa sawit, keladi putih, pisang dan lengkuas yang turut menceburi ternakan lembu dan ikan itu berkata, segalanya bermula secara kecil-kecilan untuk membuktikan pertanian adalah satu perniagaan.

"Saya tidak pernah terfikir akan menerima anugerah ini setelah 20 tahun berkecimpung dalam bidang ini," katanya yang belajar setakat tingkatan tiga.

Melihat peluang yang besar dalam bidang itu, bapa enam orang anak itu berkata, dia mula mengembangkan sayap perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan lori, jentera, traktor, bot, alatan ladang dan pemprosesan kulit lembu.

Menurutnya, hasil penat lelah selama ini berbaloi apabila dia kini menikmati pendapatan bersih kira-kira RM52,000 sebulan.

"Untuk berjaya saya berpegang pada tiga prinsip dalam perniagaan iaitu jangan menyusahkan orang, jangan boros dan jangan kedekut," katanya.

Jamil berkata demikian ketika ditemui selepas menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2007 di MITC di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Para pemenang anugerah menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai RM15,000.

Sementara itu penerima Anugerah Peladang Jaya Wanita Peringkat Kebangsaan 2009, Siti Noraini Markom, 47, dari Tanjung Sepat, Selangor berkata, walaupun gembira, dia sedih kerana arwah ibu bapanya yang menjadi pendorong utama tidak sempat melihat kejayaannya itu.

"Namun saya tetap bertuah kerana dapat berkongsi perasaan ini bersama dengan suami, Mohd. Nor Sukimi, 48, dan empat orang anak.

"Sesungguhnya pengorbanan masa mereka tidak ternilai sehinggakan mereka juga berminat mewarisi perniagaan ini," katanya yang mengusahakan tanaman ubi kayu, keledek dan pisang.

Malah produk keluarannya kini berjaya menembusi pasaran luar negara antaranya Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Hong Kong.

Usahawan tersebut yang memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM38,000 sebulan, berkata, dia kini memperluaskan lagi projek pertaniannya dengan tanaman kelapa sawit pula.

Bagi Peladang Muda Jaya Peringkat Kebangsaan 2009, Mohd. Shahrul Daud, 26, dari Kulim, anugerah tersebut memberi semangat kepadanya untuk membesarkan lagi perusahaan lembu daging, lembu tenusu, kelapa sawit, nanas, cili dan ternakan keli agar lebih berdaya saing pada masa hadapan.

"Pengiktirafan ini akan memberi motivasi kepada saya untuk menceburi bidang baru yang dirasakan sesuai dengan permintaan semasa.

"Wang RM15,000 yang saya menangi hari ini akan digunakan sebagai modal pelaburan dalam perusahaan baru yang dapat melonjakkan nama ke peringkat global," katanya yang memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM14,000 sebulan. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya