Pembukaan susur Tambun rancakkan ekonomi

Monday, August 31, 2009

IPOH 30 Ogos - Kewujudan jalan susur Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ke Jalan Tambun di sini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan pelancongan Perak.

Pembukaan laluan sepanjang 750 meter itu telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam.

Orang ramai dari sini yang ingin ke Tambun atau sebaliknya menggunakan laluan baru tersebut kini mampu menjimatkan masa kira-kira 30 minit.

Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, laluan itu sangat penting kerana ia memberikan akses mudah dari kedua-dua arah.

Katanya, impian untuk menjadikan Tambun sebagai destinasi pelancongan utama akan mampu dicapai dengan adanya laluan yang selesa seumpama itu.

''Pembukaan jalan ini merupakan satu permulaan baik yang akan merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di sini kerana orang ramai kini mempunyai akses terus ke Jalan Tambun.

''Pada masa ini, Bandar Sunway Ipoh dilawati lebih lapan juta pengunjung setiap tahun dan dengan adanya jalan ini, diharap ia bertambah kepada 10 juta orang," katanya di sini.

Jalan tersebut yang menelan belanja RM15 juta dibina hasil kerjasama antara Sunway City (Ipoh) Sdn. Bhd. dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sunway City Ipoh turut menyumbang RM1.5 juta daripada kos keseluruhan pembinaan projek yang dicadangkan oleh syarikat tersebut pada 2007.

Menurut Cheah, pihaknya komited untuk membangunkan lebih banyak projek di Bandar Sunway sebagai usaha memberikan keyakinan kepada para pelabur.

Pada masa ini katanya, Bandar Sunway mempunyai banyak tarikan termasuk taman tema Lost World of Tambun, taman sukan ekstrem, pusat sukan, pusat membeli-belah, pusat komersial serta kediaman.

''Tarikan-tarikan baru yang akan dibuka tidak lama lagi pula ialah World Petting Zoo, spa kolam air panas dan Hotel Lost World of Tambun yang mempunyai 100 bilik dan kelab percutian," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri dan JKR yang banyak membantu dalam melebarkan laluan sepanjang Jalan Tambun yang kini menjadi empat laluan daripada dua laluan pada asalnya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya