PDRM tawar graduan menganggur jadi polis

Wednesday, August 19, 2009

KUALA TERENGGANU 18 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia membuka peluang kepada graduan menganggur untuk menjadi pegawai polis dalam menangani isu ketandusan pekerjaan di kalangan golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan sekiranya tawaran mengenainya dikeluarkan kelak.

Katanya, dengan menyediakan peluang itu perkhidmatan polis akan menjadi lebih mantap kerana disertai di kalangan mereka berpendidikan tinggi sejajar dengan perkembangan terkini.

''Peluang akan dibuka dan kita mahu lebih ramai graduan minat jadi polis," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Terengganu di pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Semua pemimpin UMNO negeri itu termasuk Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Said, Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh hadir dalam mesyuarat dua jam itu.

Tambah Hishammuddin, perkhidmatan polis memerlukan golongan muda yang berpendidikan dan berketerampilan dalam memastikan pasukan itu disegani. - Utusan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya