Nelayan minta bina jeti baru

Thursday, August 13, 2009

JOHOR BAHRU 12 Ogos - Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan meminta kerajaan negeri membina sebuah jeti baru pantai di daerah ini.

Pengerusinya, Abdul Wahid Mohd. Tamin berkata, ia bagi menggantikan jeti lama yang usang dan uzur untuk kemudahan mereka mendaratkan hasil tangkapan.

"Kami amat berharap kerajaan negeri mempertimbang dan memperuntukkan sebuah kawasan yang bersesuaian bagi tujuan pembinaan jeti yang akan menjadi pangkalan nelayan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Abdul Wahid berkata, jeti sedia ada diperbuat daripada kayu terletak di beberapa lokasi berdekatan penempatan nelayan.

Menurutnya, jeti lama itu sudah tidak sesuai digunakan nelayan yang kini dianggarkan berjumlah 350 orang di kawasan itu.

Katanya, mereka adalah nelayan dari tujuh pangkalan iaitu Kampung Sungai Melayu, Kampung Sungai Danga, Kampung Sungai Temun, Kampung Bakar Batu, Skudai, Kampung Teluk Serdang, Kampung Skudai Kiri dan Pantai Lido.

Menurutnya, jeti baru itu penting bagi memastikan keselamatan nelayan selain melancarkan urusan mendaratkan hasil tangkapan. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya