Negara perlu lahirkan pelajar cemerlang global

Tuesday, August 18, 2009

BESUT 16 Ogos - Kepesatan pembangunan dunia dan kemajuan teknologi membuatkan negara perlu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang di dalam negara tetapi mampu bersaing di peringkat global.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelajar yang akan dilahirkan itu biarlah mampu diketengahkan dan layak memasuki universiti tersohor di dunia.

Menurutnya, dengan cara itu pelajar Malaysia dapat membuktikan bahawa mereka layak digelar sebagai golongan profesional dan teknokrat di peringkat dunia apabila tamat pengajian kelak.

Untuk mencapai tujuan itu jelasnya, pelajar perlu memiliki keberanian dan daya kreativiti bukan sahaja dalam bidang akademik malah mampu menguasai kepakaran pelbagai bidang termasuk kemahiran berfikir.

"Generasi inilah yang akan menjadi ahli profesional yang mahir dalam bidang agama berlandaskan al-Quran dan sunnah serta mampu menjadi tempat rujukan selain berupaya memberi pandangan dalam penyelesaian masalah umat Islam," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih di sini semalam.

Pada majlis yang turut dihadiri Pengarah Yayasan Terengganu, Kamaru Al Amin Ismail itu, seramai 142 pelajar menerima anugerah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (103), dan Sijil Pelajaran Malaysia (36).

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh berkata, penekanan perlu diberikan ke arah meningkatkan daya kreativiti dan inovasi pelajar dengan merangsang pemikiran mereka di peringkat awal menerusi aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Sementara itu, Kamaru Al Amin berkata, sebanyak RM40,720 diperuntukkan kepada 281 pelajar yang menerima hadiah kecemerlangan di DUN Jerteh kali ini iaitu RM120 bagi setiap pelajar UPSR, PMR (RM160) dan SPM (RM200).

Menurutnya, sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2006, Yayasan Terengganu telah membelanjakan sebanyak RM48 juta untuk bantuan persediaan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), matrikulasi serta institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) kepada 67,206 pelajar.

"Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Yayasan Terengganu telah mengeluarkan bantuan persediaan kepada 17,571 pelajar melibatkan kos sebanyak RM13.5 juta dan dijangka sehingga akhir tahun ini mencapai RM17 juta melibatkan 23,000 pelajar.

Beliau menambah, sehingga kini menerusi Yayasan Terengganu, kerajaan negeri menaja lebih 3,700 pelajar di universiti tempatan dan luar negara.

Jelasnya, sehingga enam bulan pertama tahun ini seramai 1,787 pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan kurang baik dibantu untuk mengikuti kursus di pusat latihan kemahiran dalam negara. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya