Melaka pengeluar minyak wangi

Sunday, August 23, 2009

MELAKA 22 Ogos - Kewujudan Taman Seribu Bunga di Ayer Keroh di sini yang mempamerkan pelbagai keunikan dan haruman bunga mampu mengembangkan potensi Melaka menjadi negeri pengeluar minyak wangi pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pelbagai usaha bakal dilakukan bagi mengetengahkan potensi lokasi itu sebagai pusat penghasilan minyak wangi sekali gus memberi impak besar kepada penanaman pokok bunga di negeri ini.

Menurutnya, Melaka mampu mencapai hasrat sebagai negeri pengeluar minyak wangi sendiri sekali gus bersaing dengan pasaran antarabangsa pada masa depan.

"Di taman ini, terdapat banyak bunga-bungaan yang telah diiktiraf oleh saintis dunia berpotensi dijadikan minyak wangi.

"Taman ini dipertingkatkan lagi pada masa akan datang bagi menampung keperluan dan pada masa yang sama mampu menjadi taman bunga yang berkualiti tinggi," katanya di sini semalam.

Bagi tujuan itu, Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri akan menghantar dua wakil ke Tanjung Malim dan Endau Rompin, Pahang bagi melihat pokok-pokok hutan yang boleh ditanam di Taman Botanikal Ayer Keroh, di sini.

Tambah beliau, pihaknya amat berharap agar usaha tersebut mencapai matlamatnya sekali gus mampu meningkatkan ekonomi penduduk.

Menurutnya, kerajaan negeri komited mengerakkan pelbagai program dan kegiatan yang dikenal pasti berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi di negeri ini selaras dengan hasrat menjadi negeri maju pada tahun depan.

"Usaha ini seiring matlamat penganjuran program Bumi Hijau yang diusahakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terdahulu.

"Melalui program Bumi Hijau ini, kita yakin kemajuan Melaka terus berkembang dan masyarakat yang terlibat sama menjayakan program itu turut berjaya menjual hasil mereka di pasaran," katanya. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya