Manfaatkan bahan semula jadi

Friday, August 14, 2009


Mohd. Shafie Apdal tertarik melihat batik yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan di Kuala Terengganu semalam. Turut serta ialah Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Noor Arfa Batik, Wan Mohd Ariffin Wan Long (dua dari kiri).


KUALA TERENGGANU 13 Ogos - Para penduduk khususnya di kawasan luar bandar perlu memanfaatkan sepenuhnya potensi pelbagai bahan semula jadi di persekitaran mereka untuk memantapkan ekonomi keluarga.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, cadangan tersebut sesuai dilaksanakan sebagai pemangkin untuk memajukan diri sekali gus membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

Katanya, pelaksanaan itu juga dilihat mudah untuk direalisasikan kerana kebanyakan penduduk luar bandar telah mempunyai kemahiran dan ilmu tentang bahan-bahan semulajadi berkenaan.

"Seperti yang diketahui, sememangnya kawasan luar bandar kaya dengan pelbagai bahan semula jadi seperti nipah, rotan serta hasil laut dan sungai yang mampu dijadikan sebagai produk untuk dipasarkan.

"Justeru, apa yang perlu bagi mereka ialah diberi latihan dan kemahiran mencipta serta menghasilkan produk berkualiti serta mengikut cita rasa terkini agar lebih mudah untuk mendapat permintaan di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog bersama pengusaha-pengusaha batik di Kompleks Kraf Noor Arfa Batik di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, kementerian akan mengenal pasti jenis-jenis bantuan yang akan disalurkan kepada mereka.

"Sebelum ini kementerian telah memberi bantuan daripada segi prasarana namun bantuan tersebut tidak mencukupi bagi membantu penduduk luar bandar meneruskan kelangsungan hidup mereka.

"Justeru itu, kita akan mengenal pasti bagaimana bantuan yang diperlukan oleh mereka bagi memajukan industri kampung ini," jelasnya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya