Kekuatan, kelebihan Dr. Ismail Salleh perlu diteladani

Friday, August 28, 2009

BERITA kematian Yang Berhormat Senator Prof. Datuk Dr. Ismail Salleh agak mengejutkan saya kerana beliau memang akrab dengan saya terutama dalam hal-hal berkaitan IPTS Bumiputera.

Memandangkan saya berada di Sabah ketika menerima pesanan ringkas keluarga beliau mengenai berita kematian itu, saya hanya mampu mendoakan semoga Allah memberkati roh Allahyarham.

Namun di sebalik kesedihan itu, saya masih dapat mengingati kenangan bersama beliau terutama dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan pendidikan swasta orang Melayu.

Kali terakhir saya menghubungi beliau ialah pada minggu lalu untuk membincangkan isu berkaitan Skim Kluster BCIC-2 Pendidikan Tinggi dan Latihan Sumber Manusia. Namun atas sebab kesihatan, saya meminta beliau berehat dan menangguhkan perbualan telefon ke suatu tarikh lain walaupun beliau masih bersedia untuk berbincang dalam tempoh yang singkat.

Begitulah Dr. Ismail yang saya kenali. Ternyata hingga ke akhir hayatnya, beliau mempunyai daya juang yang tinggi terutama dalam hal-hal berkaitan pendidikan dan ekonomi Melayu. Pernah berlaku setahun lalu apabila beliau meminta saya berjumpa beliau bagi membincangkan penyediaan kertas kerja berkaitan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera di Hospital Pantai.

Hebatnya anugerah Allah kepada beliau ialah kekuatan fikirannya menganalisis perbincangan walaupun sedang menerima rawatan dialisis. Al-Fatihah. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya