Industri besi majukan hilir Terengganu

Tuesday, August 25, 2009

KUALA TERENGGANU 24 Ogos - Sebuah projek membabitkan pelaburan bernilai RM4 billion telah diluluskan melibatkan kilang besi di Teluk Kalong, Kemaman bagi membolehkan pembangunan sekata dilaksanakan di sebelah hilir negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Toh Chin Yaw berkata, projek berkenaan melibatkan keluasan tanah 400 hektar.

Katanya, dengan wujudnya pembangunan di kawasan tersebut, ia bakal memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Kerajaan negeri telah meluluskan permohonan untuk memajukan kawasan terbabit dengan perindustrian besi di mana lokasi itu amat sesuai untuk perindustrian berat.

"Melihat kepada perkembangan perindustrian berskala besar itu di negeri ini, kerajaan tidak teragak-agak meluluskan lebih banyak kawasan lain untuk industri berkenaan agar ia dapat diperluaskan sekali gus menjana pendapatan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil-wakil surau dan masjid di perkarangan Masjid Zainal Abidin di sini hari ini.

Sebanyak 25 surau dan tiga buah masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menerima sumbangan daripada Tabung Darul Iman yang keseluruhan bernilai RM11,500 bertujuan membantu surau dan masjid untuk menjalankan pelbagai program ibadah pada bulan Ramadan ini.

Mengulas lanjut, Chin Yaw berkata, kerajaan negeri banyak menerima permohonan pelabur-pelabur luar untuk memajukan industri berskala besar termasuk industri petrokimia di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, permohonan tersebut masih di dalam proses penelitian dan pertimbangan agar kesemua permohonan dapat disemak semula mengikut syarat-syarat sedia ada.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan penglibatan pelabur-pelabur asing untuk melabur di negeri itu.

"Setakat ini permohonan pelabur-pelabur amat menggalakkan dan kita menerima pelabur-pelabur dari serata negara seperti China, Taiwan, Iran dan Australia.

"Ia satu perkembangan yang positif kepada kemajuan Terengganu dalam bidang perindustrian berat ini," jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan mengekalkan insentif sedia ada kepada pelabur-pelabur melalui pengurangan cukai, skim pembayaran cukai ansuran serta kemudahan infrastruktur lengkap dan selesa. - Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya