Ibu bapa digesa kuasai ilmu

Wednesday, August 19, 2009

KLUANG 18 Ogos - Ibu bapa digesa menguasai pelbagai ilmu dan mengajarnya kepada anak-anak yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Asiah Md. Ariff berkata, ilmu yang pelbagai itu perlu dimiliki oleh ibu bapa kerana mereka merupakan pencorak keperibadian hidup anak masing-masing ketika berada di rumah.

Justeru, beliau menggesa golongan ibu bapa supaya mengikuti pelbagai konvensyen modal insan yang dianjurkan pihak tertentu bagi meningkatkan ilmu masing-masing.

"Menerusi konvensyen itu, mereka juga dapat meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran bagi memantapkan institusi keluarga," katanya semasa melancarkan Takwim dan Forum Perdana Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar Bandar Negeri Johor di Taman Sri Lambak di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Azizan Md. Rais dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Kejora, Zainal Abidin Ali.

Asiah berkata, negara kini memerlukan ramai tenaga profesional untuk menjayakan Wawasan 2020.

"Asas produktiviti modal insan pula datangnya daripada institusi keluarga yang cemerlang dan beramal dengan pengetahuan berasaskan syariah," katanya.

Menurutnya, generasi muda kini sedang dilanda pelbagai cabaran yang bukan sahaja boleh memusnahkan peradaban tetapi akidah mereka.

"Oleh itu, marilah kita bersama-sama bangkit dan berganding bahu memikul tanggungjawab untuk membentuk dan memimpin anak muda ini dengan asas kekuatan iman," katanya. - Utusan Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya