Gua Musang bakal muncul bandar kedua terbesar Kelantan

Monday, August 31, 2009

GUA MUSANG 30 Ogos — Kerajaan pusat merancang untuk membangunkan bandar Gua Musang sehingga menjadi bandar kedua terbesar di Kelantan selepas Kota Baharu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kemajuan ke arah itu semakin kelihatan terutama tumpuan kerajaan dalam melaksanakan banyak projek pembangunan khususnya jalan perhubungan di Gua Musang.

“Rakyat di jajahan ini bukan sahaja dapat menikmati jalan perhubungan ke Kota Baharu, malah boleh berhubung dengan negeri lain termasuk Pahang, Perak dan Terengganu seperti yang dirancangkan di dalam pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 2007,” katanya.

Beliau turut meminta pengurusan Kesedar agar mengatur perancangan lebih tersusun untuk dilaksanakan di Gua Musang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kita mahu penyusunan perancangan ini dibuat sebaik-baiknya bagi mendapatkan peruntukan lebih besar dalam RMK-10 kerana kerajaan mahu lihat kemajuan lebih pesat berlaku di Kelantan khususnya Gua Musang,” kata kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di sini hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan berkata matlamat utama kerajaan memfokuskan kemajuan itu ialah bagi menarik ramai penduduk di utara ke Kelantan Selatan.

Kata beliau, ini bersesuaian dengan keadaan kawasan Gua Musang yang mempunyai banyak peluang pekerjaan dan mampu menampung lebih ramai penduduk.

"Kerajaan tidak mahu penduduk di utara Kelantan terus dengan kemelut kemiskinan berikutan terlalu padat dengan penduduk dan adalah lebih baik mereka berhijrah ke Gua Musang. “Kita lihat suasananya strategik dalam menarik pelabur dan sekali gus memberi banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya. — Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya