e-Kasih kurangkan kadar kemiskinan nelayan

Tuesday, August 18, 2009

KOTA BHARU 16 Ogos - Program pembasmian kemiskinan melalui Skim Pemberian Insentif Pelbagai Peralatan Nelayan e-Kasih di seluruh negeri dijangka mampu mengurangkan kadar kemiskinan nelayan sehingga lapan peratus menjelang 2010.

Pengarah Bahagian Perancangan Korporat, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Abdul Rahman Ellis berkata, tahun ini LKIM membelanjakan RM1.84 juta untuk membantu nelayan miskin dan miskin tegar menerusi peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Jelasnya, mengikut perangkaan Jabatan Perikanan, seramai 2,383 isi rumah nelayan masih memerlukan bantuan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

"Pemberian insentif ini telah dimulakan sejak tahun 2004 hingga 2006 di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK 8) melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melibatkan peruntukan sebanyak RM1.51 juta kepada 141 nelayan.

"Bagi tahun ini, semua peruntukan akan dibelanjakan untuk membeli peralatan kepada 207 nelayan yang terpilih dan berada dalam senarai e-Kasih," ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran dan pelarasan skim bantuan itu di sini semalam.

Pada majlis tersebut, seramai 160 nelayan menerima surat pengesahan bantuan peralatan menangkap ikan seperti pukat, enjin dan sampan.

Kata Abdul Rahman, selain bantuan peralatan, LKIM akan turut menganjurkan kursus dan latihan kemahiran pembangunan insan bagi meningkatkan minat, ilmu, kemahiran dan kesungguhan nelayan miskin untuk bekerja lebih keras.

"LKIM turut merancang pelan pembangunan untuk memajukan lagi industri perikanan di Tok Bali di sini.

"Ia membabitkan pembinaan pelabuhan terbesar LKIM, penempatan semula 300 nelayan, pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) dan projek ternak air berteknologi tinggi," ujarnya.

Tambahnya, beberapa projek pembangunan fizikal sedang berjalan seperti di jajahan Bachok iaitu kerja-kerja mendalam, melebar dan memanjangkan benteng penahan ombak di Kuala Kemasin. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya