DPN-4 ubah nasib golongan warga tani

Thursday, August 13, 2009

MELAKA 12 Ogos - Kerajaan akan menggubal Dasar Pertanian Negara Ke-4 (DPN-4) untuk tempoh 2011-2016 yang dapat memberi pelbagai manfaat kepada golongan warga tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, dasar yang akan digubal itu merupakan kesinambungan daripada RMK-9 dan Dasar Pertanian Negara Ke-3 (DPN-3) yang telah melalui proses penambahbaikan.

Menurut beliau, beberapa akta di bawah DPN-3 untuk peladangan, ternakan dan nelayan akan mengalami perubahan baru mengikut kesesuaian keadaan semasa.

''Saya melihat beberapa akta sedia ada sudah tidak boleh dipakai kerana ia mengikut keadaan pada masa itu tetapi sekarang sektor pertanian telah mengalami perubahan.

''Sehubungan itu, saya berpendapat akta lama dalam DPN-3 perlu diubah bagi memantapkan lagi sektor pertanian negara,'' katanya selepas merasmikan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPN) 2009 di Ayer Keroh malam tadi.

Noh berkata, sebagai contoh akta Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditubuhkan pada tahun 1970-an perlu dilakukan pindaan.

Sehubungan itu beliau berkata, konvensyen tersebut diharap dapat menghasilkan resolusi yang bernas bagi menggubal DPN-4.

Menurut beliau, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan tamat tempoh tahun depan telah membuktikan kejayaan dalam sektor pertanian negara.

Melalui DPN-3 katanya, ia telah meningkatkan pengeluaran pertanian termasuk penerokaan sumber pertumbuhan baru dengan penyertaan sektor swasta yang lebih besar.

''Selain itu, ia telah mengembangkan aktiviti pemprosesan berasaskan pertanian dan kepelbagaian produk termasuk mengukuhkan pemasaran dan rangkaian global,'' katanya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya