Belia disaran ceburi industri asas tani

Thursday, August 13, 2009


Mohamad Hidhir Abu Hasan (dua dari kiri) tertarik melihat buah-buahan tempatan di gerai pameran FAMA pada maljis PraPelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2009 di MITC Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 12 Ogos - Golongan belia disaran untuk membabitkan diri dalam industri asas tani bagi menjana sumber pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan berkata, sektor tersebut memperlihatkan satu perubahan cukup drastik dari aspek penyertaan generasi muda di bidang tersebut.

Menurut beliau, golongan belia kini sudah mula sedar untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sumber pendapatan yang menguntungkan.

''Kerajaan negeri memberi perhatian yang cukup serius terhadap sektor industri asas tani dengan memberikan galakan serta bantuan, bimbingan dan sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang berminat menceburi bidang ini sepenuh masa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNPK 2009) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, kelmarin.

Sambutan HPPNPK 2009 sedang berlangsung di MITC sehingga 16 Ogos ini.

Mengulas lanjut Mohamad Hidhir berkata, HPPNK 2009 bertemakan Pertanian Menjana Ekonomi Negara akan menjadi tempat untuk para usahawan pertanian mempromosikan produk masing-masing.

Katanya, ia juga adalah kesempatan terbaik kepada mereka melebarkan jaringan perniagaan dengan usahawan industri tersebut yang datang dari seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk menghadiri sambutan HPPNPK 2009.

Katanya, pelbagai acara menarik telah diatur bagi memeriahkan sambutan itu yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos ini.

Menurut beliau, antara acara yang disediakan adalah pameran yang disertai oleh jabatan, agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.

''Selain pameran, acara lain yang menjadi tumpuan orang ramai ialah penjualan hasil pertanian, ternakan dan ternakan air," katanya.

Menurut beliau, orang ramai juga turut berpeluang untuk melihat pertandingan haiwan ternakan, pameran ikan hiasan, Flora Fest dan pertandingan hasil pertanian.

Di samping itu katanya, demonstrasi dan pertandingan masakan hasil keluaran pertanian juga akan menjadi tumpuan pada sambutan selama enam hari itu.

''Penganjur turut menganjurkan pertandingan sukan rakyat, pertandingan pidato antara mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT), Forum Perdana dan persembahan kebudayaan pula diadakan setiap malam," katanya.

Menurut beliau, turut menyerikan sambutan itu adalah pertandingan memancing dan pertandingan Marathon Peladang, Penternak dan Nelayan yang akan diadakan pada hari terakhir sambutan itu. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya