Batik Terengganu perlu identiti

Thursday, August 13, 2009

KUALA TERENGGANU 11 Ogos - Batik salah satu tekstil utama Terengganu seharusnya mempunyai identiti sendiri dalam menghadapi saingan batik import yang kian berleluasa di pasaran kini.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Terengganu, Kamalruzaman Mera Husin berkata, langkah tersebut perlu dilaksanakan bagi mengekalkan keaslian dan mutu.

Katanya, dengan mengekalkan identiti batik tempatan mampu bertahan sekaligus meningkat produktiviti samada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

''Melalui penghasilan reka corak dan motif tempatan yang berunsurkan seni tradisional Terengganu akan menyukarkan batik tersebut ditiru oleh negara luar selain mampu menarik minat lebih ramai pembeli terutamanya pelancong asing.

''Penghasilan seni batik kreatif dan berbeza yang bermotifkan seni tradisional terengganu seperti wayang kulit, ukiran istana, barangan purba, corak di wau dan corak seramik boleh diinspirasikan dalam penghasilan lukisan batik.

''Bagi merealisasikan hasrat ini, pengusaha-pengusaha batik perlu mengerah idea-idea yang kreatif selain mencari lebih banyak motif-motif tradisional Terengganu untuk diolah menjadi lukisan batik kontemporari yang semakin mendapat tempat di hati peminat batik kini," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Pembangunan Rekaan Batik Terengganu Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Cawangan Terengganu di Kompleks Kraftangan Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Rekaan Kraftangan Malaysia, Yushak Mahamud.

Kursus tersebut diadakan selama tiga hari bermula pada 7 hingga 9 Ogos itu disertai oleh 33 peserta terdiri dari pengusaha batik dan kakitangan Kraftangan Malaysia.

Melalui kursus ini ia membantu meningkatkan kualiti produk batik dengan mengetengahkan corak batik bermotifkan tempatan di samping memberi bimbingan dalam penhasilan batik secara pukal.

Kamalruzaman menambah, bagi mengekalkan keaslian corak batik masa kini, adalah penting pengusaha-pengusaha batik untuk merujuk kepada pengusaha-pengusaha batik lama.

Ini kerana ujarnya, idea-idea pencanting batik lama amat berguna untuk 'disegarkan' kembali mengikut citarasa masa kini.

''Setakat ini kita hanya mempunyai seramai 40 orang pengusaha batik dan saya percaya dengan jumlah tersebut pelbagai idea-idea bernas dapat dihasilkan oleh mereka selain merujuk kepada corak-corak batik lama untuk dijadikan panduan.

"Justeru itu, pengusaha-pengusaha batik perlu bekerja lebih keras lagi dalam menaikkan martabat batik Terengganu ke peringkat antarabangsa," jelasnya. - Utusan.

0 comments:

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya