624 graduan Politeknik Kota Bharu terima sijil, diploma

Wednesday, August 19, 2009


SEBAHAGIAN daripada graduan Politeknik Kota Bharu (PKB) yang menerima sijil dan diploma pada majlis konvokesyen di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 18 Ogos - Seramai 624 graduan Politeknik Kota Bharu (PKB) menerima sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen PKB kali ke-22 yang diadakan di sini semalam.

Mereka adalah sebahagian daripada 2,396 graduan yang mengikuti jurusan kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam dan perdagangan.

Anugerah Pengarah bagi peringkat sijil telah diberi kepada Mohd. Khairul Husin, 26, (kejuruteraan mekanikal) manakala bagi peringkat diploma pula diterima oleh Nik Mohd. Azri Nik Supian, 23, (kejuruteraan elektrik).

Pemilihan mereka berdasarkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Majlis konvokesyen selama dua hari bermula semalam itu diadakan di Dewan Sri Cahaya PKB dan Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad diberi penghormatan untuk menyampaikan sijil dan diploma.

Menurut Pengarah PKB, Che Ku Mamat Che Ku Abdullah, sudah menjadi tradisi pihaknya untuk menjemput pihak korporat terkemuka terlibat sama dalam konvokesyen yang diadakan setiap tahun.

Katanya, ia perlu supaya hubungan dapat terjalin antara PKB dengan syarikat besar khususnya syarikat milik kerajaan (GLC) demi manfaat bersama terutama pelajar PKB.

"Politeknik lain biasanya memanggil pegawai atasan kerajaan menyampaikan sijil dan diploma. Tetapi kami buat satu kelainan dengan memanggil 'tycoon' dalam industri.

"Pelajar di sini wajib menjalani praktikal selama enam bulan dengan industri tetapi kerana Kelantan tidak ada kawasan industri yang banyak seperti negeri lain, maka melalui cara inilah kami jalinkan hubungan," katanya.

Jelasnya, dengan cara itu mereka boleh menempatkan seberapa banyak pelajar membuat praktikal di syarikat yang sedia ada di Kelantan tanpa had.

Che Ku Mamat berkata, sebelum ini mereka telah mengundang pelbagai wakil GLC seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan DRB Hicom.

Sementara itu, Sulaiman yang mewakili Celcom berkata, pihaknya merakamkan jutaan terima kasih kepada PKB kerana memberi penghormatan kepada pihaknya dalam majlis yang cukup bermakna bagi pelajar.

"Ia suatu sejarah baru bagi kami yang diberi penghormatan untuk terlibat secara langsung dalam satu-satu konvokesyen," ujarnya. - Utusan Malaysia.

1 comments:

hafriz aizat said...

fuh masuk jgk dlm ni..tahun masa saya grad ni.. konvo ni tahun lepas 2009 bulan 6..saya grad dari lulusan diploma elektronik..pic di atas tu memang 1 jurusan la..

Post a Comment

 
 
Copyright © 1MALAYSIA Berjaya